Kampar, Perak

kota di Malaysia
(Dialihkan dari Kampar, Malaysia)

Kampar merupakan salah satu kota di negara bagian Perak Malaysia. Kota ini terletak sekitar 40 km dari kota Ipoh. Kampar telah dijadikan sebagai daerah ke-10 Negeri Perak pada 21 Mei 2009 oleh Sultan Azlan Shah dari Perak.

Sejarah sunting

Nama kota Kampar mempunyai persamaan nama dengan Kabupaten Kampar di Sumatera, Indonesia. Ini diakui oleh para sejarawan Malaysia bahawa nama kota ini diambil dari nama Kampar, Indonesia. Kaitan di antara kedua nama ini adalah melalui perniagaan yang dijalankan oleh penduduk di kota ini, perniagaan mereka yang paling utama ialah penjualan tembakau dan alat-alat tembikar sara tembaga.

Kedatangan orang Kampar (Indonesia) yang paling ramai sekali ke sini ialah pada tahun 1880-1900. Mereka datang melalui beberapa batang sungai utama seperti Sungai Kuala Dipang, Sungai Kampar, Sungai Kinta dan lain-lain lagi. Mereka menggunakan jong iaitu sebuah sampan besar yang diperbuat daripada kayu keras dan diukir menyerupai itik. Tempat persinggahan mereka adalah di tebing-tebing sungai. Maka terbentuklah beberapa buah Kampung Jeram di tebing Sungai Keboi.

Selain itu, ada juga yang masuk melalui Teluk Intan dan mudik ke Sungai Perak hingga ke Kuala Kampar di mana Kuala Kampar inilah wujudnya pekan Malim Nawar yang masih ada hingga kini. Mereka datang adalah untuk berniaga. Dari Kuala Kampar mereka singgah ke beberapa buah kampung untuk menjual barang-barang mereka kepada penduduk tempatan.

Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan hingga ke Kuala Keboi. Perdagangan mereka di sini bertambah maju karena terdapat kerabat Sultan yang tinggal di Kuala Keboi. Di daerah ini juga lahirnya Sultan Alang Iskandar dan Panglima Megat Terawis (salah seorang tokoh Negeri Perak).

Setelah barang perdangan habis dijual di tempat tersebut, mereka pun meneruskan perjalanan ke Batang Tonggang dengan berjalan kaki. Di sini juga bermulanyakota Kampar yang ada hingga kini. Di Batang Tonggang (sekarang Kampar) inilah orang-orang Kampar itu (dari Indonesia) mendirikan kedai sederet atap. Penduduk dari kampung berhampiran dengan Batang Tonggang seperti Kampung Sultan (sekarang Jalan Baru) membawa hasil-hasil pertanian mereka ke Batang Tonggang untuk dijual kepada orang Kampar (Indonesia) ini.

Tahun demi tahun, kedai sederet atap orang Kampar ini bertambah maju. Setelah perniagaan mereka maju, akhirnya mereka membuat keputusan untuk menetap di sini kerana jarak antara Kampar (Perak) dengan Kampar (Indonesia) adalah jauh. Ini menyukarkan mereka untuk berulang-alik. Selain itu, terdapat bencana di lautan seperti ombak yang besar dan lanun-lanun yang pada masa itu bermaharajalela. Ada sesetengah orang Kampar ini berkahwin dengan penduduk tempatan dan terus bermastautin di sini.

Pada awalnya aktivitas perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang-lubang kecil untuk mendapatkan tanah yang mengandungi bijih dan mendulangnya di tebing-tebing Sungai Keranji dan Sungai Kampar serta di kawasan-kawasan rendah yang mengandungi takungan air. Kegiatan tradisional ini kebanyakannya dilakukan oleh orang-orang Cina dan Eropah. Bagi menambahkan kepesatan kegiatan ekonomi perlombongan bijih timah, kaum Cina dan Eropah ini telah memperkenalkan kaidah perlombongan moden dengan menggunakan pam palong dan Kapal korek. Kedua-dua cara perlombongan ini telah mengeluarkan hasil bijih timah dalam jumlah yang berlipat ganda banyaknya serta dapat menyumbangkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan-kawasan sekitarnya. Keadaan ini berterusan sehinggalah menjelangnya kemerosotan pasaran timah pada awal tahun 1983.

Penempatan awal Kampar dan kepesatan industri perlombongan mendorong kedatangan orang-orang dari luar terutamanya orang-orang Cina dari Tanah Besar China, terdapat juga orang-orang Cina yang datang ke Kampar ialah mereka yang telah bermastautin di Pulau Pinang dan Taiping untuk memulakan hidup baru di Kampar sebagai pekerja lombong, peniaga dan sebagainya.

Hari ini Kampar telah menjadi pusat Daerah Kecil Gopeng dan Kampar serta menjadi pusat perniagaan dan kewangan yang menjadi tumpuan penduduk sekitarnya. Berbagai-bagai kemudahan dan infrastruktur telah disalurkan oleh pihak kerajaan untuk penduduk Kampar seperti rumah sakit, sekolah, bekalan air, elektrik dan sebagainya.

Jumlah penduduk Kampar sekarang dan kawasan sekitarnya di bawah MDKS berjumlah kira-kira 98,534 (setakat 1993) penduduknya terdiri dari orang Cina, Melayu, India dan sebagainya. Kepesatan pembangunan Kampar setaraf dengan bandar-bandar lain di negeri Perak malah pada satu ketika dahulu Kampar adalah Bandar yang keempat besarnya di Perak selepas Ipoh, Taiping dan Teluk Intan. Ini membuktikan bijih timah menjadi sumber yang memainkan peranan penting menentukan kepesatan Kampar seperti juga Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban dan Taiping. Kampar era perlombongan

Dalam tahun 1880-an, suatu migrasi besar-besaran pelombong-pelombong Cina dari Pulau Pinang telah datang ke Kampar berikutan pembukaan lombong bijih timah di daerah Larut dan Matang di Utara Perak di Lembah Kinta. Kegiatan perlombongan ini telah dimulakan di kaki bukit di sekitar Bandar Ipoh, Papan, Jelapang, Lahat dan Batu Gajah. Namun pada masa itu, masih belum wujud lagi bandar yang dikenali sekarang sebagai Bandar Kampar.

Berdasarkan artikel Datuk Hashim bin Sam Abdul Latif (cucu Ngah Jabor, Pengasas Kampar) penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch sebagai Residen British di Perak kerana Ngah Jabor sebagai peneroka awal Kampar adalah salah seorang yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, yang lain-lainnya termasuklah Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Putum dan sebagainya. Bagaimanapun, Ngah Jabor terlepas dari sebarang hukuman apabila Raja Idris (Dris) yang kemudiannya menjadi Sultan Perak pada tahun 1887 menjadi hakim mengadili orang-orang yang terlibat dalam Pembunuhan Birch pada 1876.

Raja Idris dan Ngah Jabor mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai saudara sesusu, kerana semasa kecil Raja Idris disusui oleh ibu Ngah Jabor dan menjadi amalan biasa bagi keluarga DiRaja menyusukan anaknya kepada orang lain terutama dari golongan orang-orang kenamaan.

Antara tahun 1876 sehingga 1886 kemungkinan Ngah Jabor menghilangkan diri untuk menuntut ilmu bagi memperlengkapkan diri dan muncul kembali di kalangan umum dengan satu identiti yang baru sebagai Mohamad Jabor. Kemungkinan pada masa menyepikan diri dia telah membuka penempatan baru di Kampar untuk mengelakkan diri dari pengetahuan pihak British.

Apabila daerah Kampar dibuka dengan rasmi untuk pajakan lombong pada 1894, Mohamad Jabor adalah salah seorang dari orang yang terawal memililki lombong-lombong tersebut dengan pajakan lombong yang bernombor ML 882 bertarikh 18hb November 1894, seluas 25 ekar dengan pekerja seramai 167 orang. Pada tahun yang sama juga dia telah memiliki 2 pajakan lombong melibatkan keluasan 55 ekar dan 10 ekar, di mana keseluruhannya berjumlah 90 ekar. Daripada keluasan tanah tersebut Mohamad Jabor menjalankan kegiatan perlombongan sehingga ke tahun 1910.

Menurut kajian pakar sejarawan Encik Chye Kooi Loong pula, menyifatkan Imam Prang Jabor seorang pemimpin Melayu yang berkaliber dan dinamik bertanggungjawab membuka perkampungan Melayu di hilir Sungai Keranji berdekatan pasar lama Kampar pada tahun 1886. Perkampungan asal ini dikenali sebagai Mambang Diawan sempena nama Gunung Mambang Diawan yang tingginya 1,455 kaki yang bermakna ‘ Fairies among the Cloud’.

Suatu hasil kajian oleh jurutera perlombongan Prancis mendapati kawasan Lembah Kinta termasuk Kampar kaya dengan bijih timah dan ini menjadikan Kampar sebagai satu penempatan yang berfaedah untuk diterokai.

Imam Prang Jabor menggalakkan para pengikutnya melombong dengan cara mengorek lubang-lubang kecil di kaki-kaki bukit dan mendulangnya di tebing-tebing sungai. Di samping itu Imam Prang Jabor turut memberitahu pihak pentadbiran British iaitu J.B.M Leech sebagai Pegawai Daerah dan Majistret di Kinta akan potensi perlombongan timah di Kampar. Leech kagum dengan keterangan tersebut seterusnya mengajak Maxwell seorang kader M.C.S dan Bramforth seorang juruukur melawat ke tempat di mana aktiviti perlombongan itu dijalankan.

Seterusnya Leech memilih satu kawasan di tebing kanan Sungai Keranji untuk tapak lot kedai. Bermula dari sinilah usaha-usaha perlombongan telah giat dijalankan dengan kehadiran pelombong Cina dan Eropah. Leech berpendapat nama Mambang Diawan terlalu panjang untuk sebuah pekan yang sedang membangun lalu mengambil nama Sungai Kampar yang mengalir berhampiran untuk menggantikan nama asalnya menjadi Kampar. Masyarakat Cina tempatan yang kebanyakkan dari kalangan para pelombong, menamakan ia sebagai "kam Pou" datang dari bahasa Kantonis yang bermaksud "emas yang berharga".